Persembahan cemerlang yang ditampilkan pemain import Terengganu FC, Manuel Ott dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 buat bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan kagum.
Ott menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama Peteh yang diturunkan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 28 Jun lalu.
Bergandingan bersama Marin Pilj dan Nurillo Tukhtasinov di bahagian tengah, gandingan trio berkenaan mendominasi bahagian tengah sepanjang perlawanan.
Ini membolehkan Ott bukan saja mencipta dua bantuan gol untuk peledak utama Peteh, Ismaheel Akinade. Malah, bekas pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu turut membuka tirai jaringan seawal minit kelapan.
Atas sebab itu, Razman merasakan sentuhan klinikal yang dimiliki Ott membolehkan Terengganu memiliki bekalan empat gol untuk dibawa ke aksi suku akhir kedua kejohanan.
“Memang dari segi persembahan, ada pemain-pemain yang kita boleh angkat sebagai pemain tengah perlawanan. Contoh seperti Azam Azmi (Murad), Ismaheel Akinade (dan) Safawi (Rasid) juga.
“Tetapi apa yang dilakukan Manuel Ott lebih klinikal dan efektif dengan dua bantuan gol dan satu gol. Apa yang ditunjukkan membantu pasukan Terengganu mencapai kemenangan hari ini, memang luar biasa yang diberi Manuel Ott,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Terengganu-Sabah di Astro Arena.
Terengganu berharap dapat mempertahankan kelebihan agregat 4-0 yang dimiliki mereka bila bertandang ke Stadium Likas pada 6 Julai ini.