Pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero tampil begitu lantang melontarkan kata-kata semangat ketika di dalam bilik persalinan Malaysia.
Skuad kebangsaan baru sahaja tiba di Kuala Lumpur setelah mengharungi aksi getir berdepan juara bertahan, Thailand di Bangkok dengan 3 mata menjadi milik pasukan tuan rumah.
Walaupun tewas tipis 1-0, persembahan cemerlang pasukan negara mendapat pujian kerana mampu menyaingi kekuatan Thailand meskipun barisan pemain dilanda isu kecederaan.
Semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para pemain Harimau Malaya turut dipuji setelah dua aksi pertama yang sedikit goyah sehingga mendapat kecaman dari penyokong sendiri.
Menerusi satu hantaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), peminat Harimau Malaya ditunjukkan dengan sebuah video yang menunjukkan suasana di ruang persalinan negara difahamkan ketika di Bangkok lalu.
Di dalam video itu, kelihatan tonggak tengah, Sergio Aguero yang tampil memberi kata-kata semangat khusus buat rakan sepasukan untuk terus berjuang tanpa menghiraukan status pihak lawan.
Ucapan tersebut dipercayai berlaku sebelum pemain-pemain turun ke padang untuk menghadapi Thailand pada Sabtu lalu dan rakaman itu telah mencapai hampir 153,000 tontonan di laman Facebook.
Ujian seterusnya buat anak didik Pau Marti adalah melayani kunjungan Singapura di Bukit Jalil pada 20 Disember nanti dengan peluang untuk mara ke separuh akhir masih terbuka.