Sergio Aguero Nafi Sikap Berlagak Alejandro Garnacho
MakanBola
MFL/MUFC

Pemain tengah kebangsaan, Sergio Aguero pantas menafikan berita tentang sifat berlagak pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho.

Nama pemain sayap Argentina berusia 20 tahun itu kembali menjadi tumpuan susulan satu laporan berita yang timbul di England.

Wartawan Times Sport, Paul Hirst melaporkan Garnacho dikatakan telah berjanji untuk memberi jersi beliau kepada Aguero selepas aksi persahabatan ASEAN-All Stars dan United.

Walau bagaimanapun, bekas pemain remaja Atletico Madrid itu dilaporkan tidak melayan pemain tengah Harimau Malaya itu selepas perlawanan.

Jersi yang dijanjikan itu kemudiannya diberi oleh seorang staf United kepada Aguero. Laporan itu kemudiannya timbul di akaun X, CentreDevils.

Susulan itu, bekas pemain Sri Pahang FC itu memaklumkan apa yang dilaporkan Hirst itu sama sekali tidak benar. Malah, Garnacho menyerahkan jersi miliknya kepada Aguero selepas tamat perlawanan.

“Ini tidak betul! Saya bercakap dengan beliau sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Dan beliau secara peribadi memberikan sendiri jersi kepada saya,” katanya di Instagram.

Aksi antara ASEAN All-Stars dan The Red Devils berakhir dengan kemenangan 1-0 buat pasukan wakil Asia Tenggara itu. Malah, persembahan hebat Aguero turut mendapat pujian pengurus United, Ruben Amorim.