Setiausaha Agung FAM Kembali Bertugas
MakanBola
FA Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj. Rahman, kini kembali menggalas tugas berkuat kuasa serta-merta selepas penggantungannya ditamatkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Keputusan tersebut dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung pada Rabu, 7 Januari 2026, selepas meneliti keseluruhan kes membabitkan Datuk Noor Azman.

Terdahulu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 telah membincangkan laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) sebelum memutuskan untuk meneruskan penggantungan Datuk Noor Azman yang berkuat kuasa sejak 17 Oktober 2025, bagi membolehkan kes tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu kemudiannya bermesyuarat dan setelah mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dikenakan, serta laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025, memutuskan untuk mengembalikan Datuk Noor Azman ke jawatannya sebagai Setiausaha Agung FAM dengan serta-merta.

Susulan keputusan terbaharu itu, ia menjelaskan bahawa Datuk Noor Azman hanya didapati terkait dengan kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terlibat dalam sebarang unsur pemalsuan dokumen, seperti yang didakwa sebelum ini.

Claim Money Packet TnG