Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengumumkan bahawa para pemain KL City akan menerima habuan kemenangan setelah mereka berjaya menjulang piala berprestij, Piala Malaysia semalam.
Ahli Parlimen Arau itu menyatakan sedemikian menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya. Beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan menjemput pemain KL City untuk memberi hadiah selepas pengorbanan bermakna pemain-pemain ini kepada pasukan pada musim 2021.
“Pemain-pemain KL City akan dapat hadiah nanti. Saya akan jemput mereka tidak lama lagi. Semalam saya hadir dengan penyokong-penyokong dari seluruh negara. Saya bawa.”
Walaupun begitu, Shahidan turut meluahkan rasa kecewa dan berkecil hati kerana beliau tidak dijemput turun ke padang. Beliau menyatakan bahawa pengacara malam tadi juga tidak menyebut namanya.
“Semalam saya hadir perlawanan bola sepak KL City lawan JDT. KL City champion. Tahniah. Pengacara tidak jemput saya turun ke padang. Pengacara juga tidak sebut nama saya. Sokay.”
Shahidan dalam pada itu nyata sangat teruja dan bangga dengan kejayaan pasukan KL City. Menurutnya kecemerlangan pasukan kota raya ini merupakan kemenangan yang penuh bermakna.
“Gegak gempita Stadium Bukit Jalil sebentar tadi dengan sorakan The City Boys apabila jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josué sekaligus menamatkan penantian Piala Malaysia lebih 3 dekad. Tahniah juga kepada Bojan Hodak dan seluruh anggota pasukan KL City FC atas kemenangan yang penuh bermakna ini,” ujar Shahidan.