Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Tan Sri Shahril Mokhtar mendedahkan ini bukan kali pertama bekas pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil mahu mengundur diri.
Arena bola sepak negara dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Nidzam sebagai jurulatih Merah Kuning baru-baru ini.
Susulan itu, penolong jurulatih, Abdi Hassan dilantik sebagai pengendali interim untuk membantu Selangor untuk menghadapi dua aksi penting pada awal November ini.
Apabila ditanya tentang sebab peletakan jawatan Nidzam, Shahril mengakui beliau sendiri terkejut bila mendengar berita berkenaan. Ini kerana dari segi keputusan semasa, pengendali berusia 44 tahun itu telah menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama Selangor.
“Saya tidak lihat kenapa beliau berada dalam tekanan untuk pergi (meninggalkan pasukan). Kita menduduki tangga kedua dalam liga dan berpotensi layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
“Saya pun (melihat berita) dalam talian untuk lihat sama ada berita tersebut betul atau tidak. Sejujurnya, Nidzam mahu pergi beberapa bulan lalu tetapi kita adakan perbincangan dan beliau menimbang semula keputusan berkenaan,” katanya kepada Scoop.
Meskipun diminta mempertimbang semula keputusannya, Nidzam tetap dengan pendiriannya itu. Hal ini memaksa pengurusan Selangor menerima keputusan peletakan jawatan beliau.
“Beliau kembali dan beritahu kita bahawa beliau mahu pergi. Apa yang kita boleh buat tetapi menghormati keputusan beliau?
“Secara jujurnya, situasi ini meletakkan kita pada kedudukan yang sukar kerana bukan mudah untuk mencari jurulatih pada saat ini,” ujarnya.
Abdi dijangka fokus untuk aksi liga seterusnya menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2 November ini. Ini disusuli aksi menentang Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi keempat Kumpulan H ACL2.