Prestasi Memukau Shahrul Saad & Khuzaimi Piee Jadi Taruhan Kim Pan-gon Sekali Lagi

Shahrul Khuzaimee Prestasi Memukau Shahrul Saad & Khuzaimi Piee Jadi Taruhan Kim Pan-gon Sekali Lagi
FA Malaysia


Gandingan pertahanan tengah pasukan kebangsaan, Shahrul Saad dan juga Khuzaimi Piee dijangka terus menjadi sandaran Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan hujung bulan ini dan juga Kelayakan Piala Asia, Jun nanti.

Kedua-dua pemain ini sedang menikmati musim cemerlang bersama pasukan masing-masing apabila manjadi watak penting bagi memacu kejayaan pasukan.

Shahrul yang kini beraksi dengan sangat baik apabila menjadi watak utama untuk mengemudi jentera pertahanan tengah Harimau Selatan.

Pertahanan berusia 28 tahun itu baru pulih daripada kecederaan panjang berjaya kembali kepada prestasi terbaiknya dalam saingan Liga Super dan juga Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Bekas pertahanan Perak ini beraksi hampir kesemua perlawanan dalam saingan ACL dalam kesebelasan utama pasukan dan menyaksikan Harimau Selatan berjaya mara ke peringkat kalah mati.

Beliau meneruskan rentak cemerlang ini apabila terus menjadi pertahanan utama JDT dalam saingan liga ketika ini.

Seterusnya, pertahanan pasukan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee dijangka bakal mendapat kepercayaan Kim Pan-gon sekali lagi untuk mengemudi pertahanan tengah Malaysia.

Sebelum ini, beliau telah tampil dengan satu aksi yang sangat cemerlang ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan Tri Nations di Singapura.

Pemain berusia 28 tahun itu meneruskan rentak cemerlang bersama pasukannya dalam saingan liga musim ini sehingga menyaksikan mereka berada pada tangga pertama buat seketika.

Khuzaimi juga menjadi pilihan utama K. Devan apabila telah beraksi dalam 7 perlawanan dan bergandingan baik dengan rakan sepasukan untuk memacu kejayaan Negeri Sembilan.

Kedua-dua pemain ini berada dalam senarai 28 orang pemain yang dipanggil pengendali dari Korea Selatan ini untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong hujung bulan ini.

Pan-gon sudah pasti sedang mencari ramuan terbaik dalam usaha membentuk skuad yang mantap menjelang Kelayakan Piala Asia, Jun ini.