Selebriti terkenal tanah air, Sharnaaz Ahmad akhirnya mendedahkan sebab di sebalik penubuhan kelab bola sepak Carabat FC.
Nama pelakon berusia 39 tahun itu mencuri tumpuan ramai apabila diumumkan sebagai pemilik pasukan Carabat. Perkara ini disahkan pasukan itu menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka.
Kini, Sharnaaz memaklumkan puteranya, Jebat Jayden Ahmad menjadi pendorong di sebalik penubuhan kelab berkenaan.
Ini kerana Jebat bukan saja berkongsi minat yang sama dengan beliau terhadap sukan bola sepak. Malah, puteranya itu turut meminati penyerang legenda Portugal, Cristiano Ronaldo.
“Sudah tentu, sudah tentu. Orang kata perkara yang menjentik hati saya untuk buka kelab (Carabat) ini ialah anak saya.
“Sebab dia memang betul-betul minat Ronaldo. Nasib baik dia tak tukar nama Jebat Ronaldo, pening kepala aku kan.
“Tapi alhamdulillah, setakat ini dia memang minat bola. Boleh tengok video dia lebih tinggi daripada akulah. Jadi, alhamdulillah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Carabat dilihat medium buat barisan pemain amatur dan muda untuk mempamerkan bakat mereka di atas padang.
Carabat sudah menunjukkan keinginan mereka untuk bersaing apabila menewaskan Bangi City FC 4-0 dalam aksi persahabatan yang diadakan pada 19 Oktober lalu.
Carabat dijangka bersaing dalam saingan Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Ini selaras dengan hajat Sharnaaz yang ingin melihat pasukan itu bersaing dan berada di peringkat lebih tinggi bola sepak Malaysia.