Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong baru-baru ini meluahkan isi hati mengenai beberapa isu pengadilan yang dilihat tidak memihak pasukan Indonesia dan Malaysia ketika berdepan lawan yang sama iaitu Vietnam.
Dalam satu muatnaik di laman instagram rasmi jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau mengakui usaha dan keringat para pemain yang beraksi tidak boleh dibunuh gara-gara keputusan yang salah oleh pengadil perlawanan.
“Tidak boleh “usaha para pemain” yang dibuat selama ini tenggelam karena wasit (pengadil). Wasit dan pemain harus fairplay sama-sama dan saya berharap semoga tidak lagi ada kejadian seperti ini,” luah Shin Tae-yong.
Dalam muatnaik itu, Shin Tae-yong juga menyertakan tiga tindakan agresif melampau dari pemain Vietnam, Doan Van Hau yang tidak dilayangkan kad oleh pengadil. Salah satu video yang dimuatnaik adalah video ketika Azam Azmi disiku dengan keras oleh Van Hau di kotak penalti Vietnam.
Manakala dua lagi video pula melibatkan Ricky Kambuaya yang disepak kakinya oleh Van Hau dan terjahan keras Van Hau ke atas pemain penyerang Indonesia, Dendy Sulistyawan.
Indonesia akan sekali lagi berdepan Vietnam bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF yang bakal dimainkan di Stadum My Dinh. Separuh akhir pertama yang melibatkan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.