Perlawanan tumpuan rakyat Malaysia pada Isnin pastinya membabitkan pertemuan antara Lee Zii Jia vs Lakshya Sen dalam aksi penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris.
Lee Zii Jia memulakan kempen di Olimpik dengan langkah kanan setelah menjuarai kumpulan G dengan menewaskan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka dan wakil Sepanyol, Pablo Abian.
Setelah itu, pemain berusia 26 tahun ini dijadualkan untuk turun berdepan pemain tuan rumah, Toma Junior Popov di pusingan 16 terbaik dan berhasil meraih kemenangan 21-13, 24-22.
Di peringkat suku akhir, giliran pemain nombor tiga dunia, Anders Antonsen pula menjadi ‘mangsa’ yang disingkirkan oleh Zii Jia yang tenang merekod kemenangan dalam aksi dua set.
Juara dunia, Kunlavut Vitidsarn menjadi halangan terakhir buat Zii Jia mara ke final namun kehandalan jaguh Thailand itu berjaya menafikan hajat wakil negara yang tumpas 14-21,15-21.
Kekalahan di separuh akhir itu membawa Lee Zii Jia ke aksi penentuan gangsa berdepan Lakshya Sen bagi menebus duka dan membawa pulang pingat buat kontinjen negara.
Rekod Pertemuan Lee Zii Jia vs Lakshya Sen
Sejarah pertemuan lalu melibatkan kedua-kedua pemain menyaksikan Sen memiliki kelebihan setelah merekodkan 4 kemenangan dalam 5 aksi terdahulu sejak kali pertama bertemu pada 2016.
Kali terakhir Sen dan Zii Jia berentap di dalam gelanggang adalah pada separuh akhir All England 2024 yang mana pemain India ini mencatat kemenangan dalam aksi dua set.
Manakala aksi tunggal yang dimenangi oleh Zii Jia adalah pada kejohanan Thomas Cup 2022 yang menyaksikan anak jati Kedah ini merekodkan kemenangan 23-21, 21-9.
Info Siaran Langsung Lee Zii Jia vs Lakshya Sen
Tarikh: 5 Ogos 2024 (Isnin).
Masa: 8.30 malam waktu tempatan.
Venue: Arena De Chapelle, Paris, Perancis.
Siaran Langsung: Astro Arena dan RTM Klik.
Sebarang keputusan perlawanan akan dikemas kini secara masa sebenar (real time) di MakanBola.com.