Lee Zii Jia meneruskan perjuangan dalam memburu pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris dengan menyingkirkan wakil tuan rumah, Toma Junior Popov pada Rabu.
Setelah muncul juara kumpulan G dengan menewaskan pemain dari Sri Lanka dan Sepanyol, Zii Jia dijadualkan berdepan Toma Junior Popov yang cemerlang menjuarai kumpulannya.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan Lee Zii Jia memiliki kelebihan dengan jurang agak besar setelah merekodkan empat kemenangan bersih dalam semua aksi terdahulu.
Permainan bermula sedikit perlahan dengan kedua-dua pemain seakan berhati-hati untuk mengatur serangan ke arah gelanggang lawan hingga mata kerap kali terikat.
Tempo permainan mula ditingkatkan Zii Jia dengan lebih banyak menekan lawan menerusi pukulan silang yang jelas sekali memerangkap Popov sebelum wakil negara raih kemenangan 21-13.
Bersambung di set kedua, momentum positif terus dibawa Zii Jia namun Popov mula bangkit bagi mengejar setiap mata hasil sokongan padu penyokong tuan rumah yang hadir ke venue.
Tekanan dari sorakan para peminat Perancis dilihat sedikit menggangu fokus Zii Jia di pertengahan permainan namun jaguh kelahiran Kedah ini tenang mengawal keadaan untuk menutup aksi di set kedua.
Aksi di gelanggang dua berakhir dengan kemenangan buat Lee Zii Jia 21-13, 24-22.
Kemenangan penting Lee Zii Jia ini membawa kepada kemaraan jaguh negara ke pusingan seterusnya dan akan berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen yang sudah menunggu di peringkat suku akhir.