Penyokong Manchester United meletakkan harapan tinggi agar kad merah yang dilayangkan kepada tonggak tengah mereka, Casemiro ketika perlawanan menentang Crystal Palace pada Sabtu lalu, dibatalkan.
Ini berikutan mereka yakin Casemiro tidaklah bertindak ganas terhadap pemain Crystal Palace, Will Hughes seperti mana gambaran awal, berikutan tularnya klip video sisi berbeza dari tempat duduk penyokong.
Klip tersebut menunjukkan kedua-dua pemain ketawa selepas insiden tegang tersebut yang menyaksikan Casemiro mencekik Hughes, sebelum pengadil Andre Marinner datang melayangkan kad merah kepada pemain Brazil itu selepas meneliti rakaman VAR.
Ia lantas menyaksikan Casemiro yang dianggap pemain cukup instrumental buat Eric Ten Hag, akan terlepas tiga aksi domestik – dua kali menentang Leeds United di tempat sendiri dan lawan serta perlawanan menentang Leicester City.
Dia hanya akan kembali pada aksi final Piala Carabao menentang Newcastle United pada 26 Februari, namun boleh bermain dalam dua perlawanan Europa League menentang Barcelona sebelum itu.
Bagi penyokong, peluang tetap ada untuk kad merah itu dibatalkan sekiranya United membuat rayuan dengan menyertakan bukti, dan mereka lantang mempertahankan insiden tersebut dalam apa cara sekalipun tidak boleh ditakrif sebagai kelakuan ganas.