Singapura Sertai Thailand Gunakan VAR, Malaysia Bakal Menyusul?
MakanBola
FA Singapore

Liga Perdana Singapura (SPL) mengumumkan bakal menggunakan teknologi Pembantu Pengadil Video (VAR) pada saingan liga musim depan. 

Ini sekaligus menjadikan Singapura sebagai negara ketiga di ASEAN dan negara ke-11 di Asia yang mengimplimentasi sistem VAR dalam liga profesional tempatan. 

Ketua Projek dan Pengarah (Pengadil) Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Nazeer Hussain dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengikuti program yang dibangunkan FIFA untuk menjayakan projek ini.

“Seluruh proses pelaksanaan VAR boleh mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan mengikut Program Bantuan dan Kelulusan Pelaksanaan (IAAP) yang dibangunkan oleh FIFA. Terima kasih kepada dedikasi, komitmen dan dorongan kedua-dua pengadil dan tenaga pengajar yang berkelayakan, tidak lupa kakitangan dari jabatan pengadil, kami telah dapat bekerja dengan berkesan dalam tempoh yang singkat.”

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa mereka kini berada pada landasan terbaik dan sudah mula menjalankan sesi latihan sebelum menanti ketibaan FIFA untuk meluluskan permohonan. 

“Kami kini berada di peringkat ketiga daripada lima peringkat IAAP, yang memberi tumpuan kepada penyediaan dan latihan pegawai perlawanan dan teknologi VAR. Sesi latihan berjalan lancar dan kami sedang dalam proses menjadualkan lawatan untuk pegawai FIFA turun dan menilai kemajuan kami, dan meluluskan penggunaan VAR di sini di Singapura.”

“Masih ada kerja yang perlu dilakukan, tetapi jika semuanya berjalan lancar, kami yakin dapat melaksanakan VAR dalam SPL tahun depan, ujar Nazeer Hussain

Melihat kepada perkembangan liga Singapura dan Thailand, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah tentu mempunyai perancangan untuk melaksanakan sistem VAR ini. Semestinya kita bakal melihat Liga Super mengguna pakai sistem VAR pada masa akan datang.