Isteri penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli mendedahkan sisi penyayang yang tidak diketahui ramai.
Aspek tersebut dikongsikan isteri Haziq yang juga pelakon, Eyra Hazali dalam satu video TikTok Homegrown.My baru-baru ini.
Eyra menyifatkan penjaga gol berusia 28 tahun itu bukan saja sentiasa mengutamakan keluarga. Malah, Haziq juga sentiasa bersikap telus dalam semua perkara.
Ini terbukti apabila bekas penjaga gol Perak FC itu turut berkongsi kata laluan semua akaun media sosial yang digunakan dengan dirinya. Ini membolehkan Eyra memantau setiap pemberitahuan yang muncul pada setiap akaun berkenaan.
“Orang Sarawak memang cantik-cantik. Bukan setakat cantik, siap mesej suami saya lagi. Ada juga yang ajak berjumpa di Kuching apabila Haziq hantar kami ke lapangan terbang.
“Memang ramai tetapi Alhamdulillah, Haziq berkongsi kata laluan media sosial dengan saya. Jadi, setiap notifikasi masuk ke telefon saya dan saya tahu,” katanya.
Eyra mengakui Haziq menerima banyak mesej daripada ramai wanita. Meskipun begitu, suaminya memilih untuk tidak melayan mesej yang diterima.
Malah, Eyra mendedahkan Haziq turut menyekat mesej ramai wanita jika mesej tersebut dilihat cuba mengganggu kerukunan rumahtangga mereka.
“Haziq tidak melayan DM (mesej terus) seperti itu. Setakat yang saya kenal, dia bukan lelaki begitu.
“Kita tidak berani menjanjikan apa-apa tetapi dia memang meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Apa sahaja, dia akan melalui saya terlebih dahulu.
“Malah, dia tidak teragak-agak menekan butang sekat terhadap akaun yang mengganggu. Kalau lihat senarai disekat, memang ramai wanita,” tambahnya.
Eyra turut memohon kepada orang ramai agar dapat mendoakan rumahtangganya kekal bahagia dan harmoni.
Sejak mendirikan rumahtangga pada 2019, Haziq dan Eyra dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 5, Muhammad Endra Haqimie, 4, dan Muhammad Eskandar, 1.