Dengan saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2023 bakal bersambung tidak lama lagi, pasukan-pasukan mula mempergiat persiapan mereka. Bagi pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka bertuah kerana mendapat kelengkapan latihan baru iaitu alat penjejak GPS jenama Oliver.
Dengan menggunakan alat itu, ini bukan saja membantu jurulatih Harimau Selatan, Juan Antonio Miguel Garcia memantau sesi latihan anak-anak buahnya dengan lebih baik. Malah, ini dapat membantu meningkatkan prestasi pemain dan pasukan menerusi sains sukan.
Dalam perkongsian terbaru akaun Twitter JDT Futsal, alat penjejak ini dipasang pada pemain-pemain sebelum mereka menjalani latihan.
Perkara sebegini mungkin asing dalam dunia futsal tanah air. Tetapi inovasi yang dibawa Oliver membantu pasukan-pasukan futsal untuk maju ke hadapan dan meningkatkan prestasi pemain.
Ini termasuk mengukur aspek metrik pemain seperti kepantasan pemain bila berlari atau kekuatan sepakan yang diambil bila merembat ke arah gol. Perkara sebegini kelihatan temeh tetapi bila diperbaiki, ia boleh saja membantu pasukan beraksi hebat di atas gelanggang.
Antara pasukan yang menggunakan alat penjejak GPS Oliver ialah Cordoba Futsal dan pasukan futsal kebangsaan Venezuela. Tidak mustahil pengalaman menggunakan peralatan sama semasa bersama Cordoba dimanfaatkan sepenuhnya oleh Garcia bagi membantu JDT menjadi pasukan hebat dalam MPFL.