Skuad Muda Kedah Kalah Besar Dengan PDRM
MakanBola
PDRM FC

Skuad muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B terus terperosok di tangga tercorot Liga Juara Piala MFL selepas tewas kepada PDRM FC 2-0 di Stadium MBPJ hari ini.

Biarpun diperkuatkan dengan penjaring terbanyak mereka, Ebenezer Assifuah, The Cops langsung tidak gentar dengan cabaran Sang Kenari.

Malah, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi penyerang import dari Nigeria, Nnabuike Chijioke Chukwu pada minit ke-16. Lapan minit kemudian, beliau menambah gol ke-12 peribadinya musim ini.

Dua gol Chijioke Chukwu sudah cukup memastikan PDRM mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kedah B terus buntu mencipta peluang jaringan. Ini mendorong jurulatih mereka, Anuar Udin membuat beberapa pertukaran bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Peluang terbaik Sang Kenari hadir menerusi penyerang muda, Zharmien Ashraf Ismail pada minit ke-70. Bagaimanapun, percubaan beliau hanya mengenai bahagian sisi gol yang dikawal penjaga gol tuan rumah, Nor Hakeem Hamidun.

Kedah B terus mencuba tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sang Saka Biru melonjak ke tangga ketiga Liga Juara Piala MFL dengan lima mata.

Sementara Sang Kenari pula kekal di tangga tercorot liga dengan satu mata daripada tiga perlawanan.