Skuad Wanita Malaysia Bangkit Bergaya Benam Bhutan
MakanBola
FA Malaysia

Pasukan wanita Malaysia menamatkan aksi Tri Nation Series dengan mencatatkan kemenangan bergaya mengatasi tuan rumah, Bhutan.

Setelah tewas 1-2 di tangan Hong Kong dalam aksi pertama lalu, skuad wanita Malaysia di bawah kendalian Joel Cornelli turun pada aksi kedua Tri Nation Series bertemu tuan rumah, Bhutan.

Kesebelasan utama Malayan Tigress kali ini masih ditunjangi oleh 3 tonggak senior Azurin Mazlan di pintu gawang, Steffi Sarge mengemudi pertahanan tatkala Intan Sarah di jentera serangan.

Tuan rumah terlebih dahulu di hadapan apabila pemain sayap lincah, Yeshey Bidha berjaya melepasi perangkap ofsaid oleh pertahanan Malaysia dan menewaskan Azurin Mazlan di minit ke-25.

Kelebihan tersebut hanya bertahan 4 minit sahaja sebelum bintang Malayan Tigress, Intan Sarah kembali menyamakan kedudukan 1-1 selepas menerima lorongan jauh dari rakan sepasukan.

Sebelum rehat, Malaysia berhasil mendahului setelah larian dan hantaran Intan Sarah dari sayap kanan disempurnakan dengan cantik oleh Ainsyah Murad ketika aksi hampir tamat.

Separuh masa pertama tamat, Bhutan 1-2 Malaysia.

Kembali dari rehat, skuad wanita negara berusaha mengawal tempo permainan sambil mengekang asakan Bhutan dengan Steffi Sarge dilihat bekerja keras mengetuai benteng negara.

Dua peluang terbaik dimiliki oleh Bhutan di pertengahan aksi namun malangnya rembatan pemain tuan rumah itu dihalang oleh tiang dan palang gol untuk kedudukan masih 2-1 untuk Malaysia.

Di masa tambahan, pemain gantian, Farahiyah melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan Malayan Tigress dengan gol ke-3 apabila mudah menolak bola ke pintu gawang skuad Bhutan.

Aksi di Stadium Changlimithang berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Malaysia.