Skuad Wanita Malaysia Tewas Tipis Kepada Hong Kong
MakanBola
FA Malaysia

Aksi persahabatan pada Sabtu menyaksikan pasukan wanita Malaysia kecundang di tangan Hong Kong.

Skuad Malayan Tigress terbang ke Bhutan untuk mengikuti Tri-Nation Series yang melibatkan pasukan tuan rumah dan juga Hong Kong sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita.

Jurulatih baharu Malaysia, Joel Cornelli menampilkan nama-nama utama seperti Azurin Mazlan, Steffi Sarge, Intan Serah dan Ainsyah Murah pada aksi pertamanya bersama Malayan Tigress.

Gawang Malaysia terlebih dahulu bocor apabila pemain Hong Kong, Sharon Fung berhasil menjaringkan gol pertama ketika minit ke-24 untuk negara Asia Timur itu berada di hadapan.

Sebelum rehat, ketua pasukan Malaysia, Steffi Sarge berjaya menanduk masuk gol penyamaan buat skuad wanita negara berpunca daripada tendangan sudut pada minit ke-39.

Separuh masa pertama tamat, Malaysia 1-1 Hong Kong.

Kembali dari rehat, permainan berlangsung seimbang tatkala kedua-dua pasukan semakin rancak mengatur asakan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan yang kedua.

Walau bagaimanapun, Hong Kong berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 menerusi penyudah Mui Mei Ho apabila bijak mengatasi penjaga gawang, Azurin Mazlan.

Aksi di Stadium Changlimithang berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Hong Kong.

Ujian seterusnya menanti Malayan Tigress adalah berdepan tuan rumah, Bhutan pada Selasa, 3 Jun di venue yang sama tatkala aksi pasukan wanita Hong Kong sudah pun berakhir.