Pertembungan antara jiran tetangga, Malaysia dan juga Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka akan dibanjiri lebih 40,000 ekor Harimau Malaya.
Perlawanan akhir kumpulan B Piala AFF 2022 bakal menjadi penentu tatkala kedudukan masih lagi terbuka buat tiga pasukan iaitu Vietnam, Singapura dan juga Malaysia untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Malaysia di bawah kendalian Kim Pan-gon diletakkan harapan yang cukup tinggi untuk terus memperagakan aksi yang terbaik sekaligus bangkit daripada episod duka susulan kekalahan 3-0 kepada Vietnam tempoh hari.
Oleh yang demikian, sokongan padu pemain ke-12 dijangka akan menjadi tonik tambahan berdepan anak buah Takayuki Nishigaya.
Menerusi makluman terbaru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jumlah tiket yang sudah pun terjual setakat ini sudah hampir mencecah 32 ribu keping.
Jumlah ini dijangka terus meningkat menjelang sepak mula yang dijadual berlangsung pada Selasa malam waktu tempatan.
Harimau Malaya yang kini berada pada tangga ketiga di belakang Singapura memerlukan kemenangan ini bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.