Stadium Likas “Full House”, Pemain Sabah Beramah Mesra Bersama Penyokong

Sabah Penyokong Stadium Likas "Full House", Pemain Sabah Beramah Mesra Bersama Penyokong
FlashSukan

Menjelang pertembungan Top Of The Table antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC pada esok, JDT yang kini sedang mengungguli kedudukan carta Liga Super 2022 dilihat bakal berdepan cabaran sukar dengan kehadiran puluhan ribu penyokong The Rhinos yang membanjiri stadium memberikan sokongan buat pasukan. 

Aksi yang berlangsung di Stadium Likas itu menyaksikan lebih 30,000 tiket telah terjual secara atas talian pada Sabtu lepas. Hari ini, lebihan 3000 tiket telah dijual secara fizikal dan ia turut mendapat sambutan yang amat-amat memberansangkan.

Menurut laporan daripada ToraBola, dikhabarkan para penyokong Sabah cukup bersemangat untuk membeli tiket apabila ada antara mereka yang sudah mula beratur sejak jam 4.00 pagi.

Kemeriahan suasana di sekitar stadium ini turut dirasai dengan kehadiran beberapa pemain Sabah seperti Baddrol Bakhtiar, Park Tae-su, Rizal Ghazali dan Rawilson yang turun padang memberikan air minuman buat penyokong The Rhinos.

Stadium Likas yang mampu menampung sekitar 35,000 orang penonton ini bakal menjadi saksi pertembungan dramatik antara pasukan Sabah dan Johor Darul Ta’zim esok. Perlawanan ini akan bermula pada jam 8.15 malam.