Stadium milik Johor Darul Ta’zim, Stadium Sultan Ibrahim dijangka bakal dibanjiri lebih 35,000 penyokong pada 15 Oktober ini selepas jualan tiket dalam talian didapati telah habis dijual dan mencapai had kuota yang ditetapkan.
Keterujaan penyokong JDT dinyatakan dengan hasil jualan tiket dalam talian yang habis dijual 3 hari sebelum hari perlawanan sebenar yang jarang-jarang berlaku untuk perlawanan liga.
Stadium Sultan Ibrahim (SSI) memegang rekod kehadiran tertinggi pada 5 Ogos 2022 semasa JDT menentang Penang di separuh akhir Piala FA 2022 dengan jumlah kehadiran sebanyak 34,213 orang.
“Tiket untuk sambutan rekod kejuaraan luar biasa Liga Super Malaysia kesembilan — ‘A Triple Hattrick’ — yang akan menyusul selepas perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC pada 15 Oktober 2022 telah habis dijual.” Lapor media JST.
Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melayani kunjungan pasukan Sabah pada 15 Oktober ini yang perlu menunggu perlawanan liga terakhir untuk menentukan slot ke Piala AFC bersama 2 lagi pasukan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Pada hari yang sama, satu sambutan kejuaraan Liga Super dan kejayaan lain yang diperoleh Negeri Johor turut akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim.
JDT bakal menutup musim 2022 penuh gemilang dengan pelbagai kejuaraan termasuk Piala FA, Liga Super, Liga Premier dan pelbagai kejuaraan lain dari semua peringkat umur sekaligus menjadi tahun terbaik sejak revolusi JDT bermula pada tahun 2012.