Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi berjaya mencatat nama sebagai penyumbang gol terbanyak buat JDT ketika ini.
Pemain paling bernilai ABK 2021 ini telah mencatat sebanyak 9 bantuan gol secara kesuruhannya sekaligus mengetepikan nama-nama pemain import lain seperti Forestieri, Bergson dan Leandro untuk menghuni kedudukan carta penyumbang bantuan gol paling banyak buat JDT.
Sepanjang musim ini, Arif cemerlang membantu JDT konsisten mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu saingan Liga Super 2022. Selain itu juga, ledakan hatrik Arif Aiman pada aksi separuh akhir Piala FA tempoh hari juga menjadi nadi kepada kejayaan JDT melangkah ke pentas final Piala FA.
Beliau baru-baru ini turut mencatat satu sejarah baharu buat JDT apabila beliau menjadi pemain paling muda yang berjaya menjaringkan hatrik dalam sesebuah perlawanan.
JDT yang kini di bawah kendalian pengendali baharu, Hector Bidoglio bakal berentap dalam aksi kalah mati berdepan Urawa Red Diamond bagi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Arif semestinya akan menjadi taruhan terbaik pasukan bagi mengetuai jentera serangan daripada sebelah sayap kanan pada aksi Jumaat ini yang dijadualkan berlangsung di Stadium Saitama, Jepun.