Kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur mengetuai senarai akhir 23 pemain bagi menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 di Thimphu, Bhutan pada 31 Mei dan 3 Jun.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 23 pemain Malayan Tigress untuk dua aksi tersebut.
Selain Steffi, jurulatih baharu pasukan dari Brazil, Joel Cornelli turut memanggil penjaga gol KFF Vlaznia, Nurul Azurin Mazlan, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Nur Lyana Soberi.
Turut terpilih dalam senarai sama ialah pemain pertahanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kanchenjeet Kaur.
Malayan Tigress dijadual bertemu dengan Hong Kong pada 31 Mei. Ini disusuli aksi menentang tuan rumah, Bhutan pada 3 Jun.
Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Changlimithang, Bhutan pada jam 8.00 malam (waktu Malaysia). Skuad negara akan bertolak ke Bhutan pada 28 Mei.
Dua perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad Malayan Tigress menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026.