Penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik Piala AFC untuk aksi pertama peringkat kumpulan.
Menerusi satu perkongsian yang dimuatnaik AFC Cup di X, Suhaimi berjaya menyelamatkan gawang skuad Penyu sebanyak enam kali daripada dibolosi juara A-League, Central Coast Mariners.
Statistik ini turut disokong oleh Sofascore dengan penilaian 7.8 untuk beliau. Daripada enam percubaan bola yang diselamatkan Suhaimi, empat daripadanya berlaku dalam kotak penalti.
Ini jelas menunjukkan kecekapan beliau sambil dibantu barisan pertahanan Terengganu yang diterajui Shahrul Nizam Ros Hasni.
Malah, satu-satunya pemain yang mendapat penilaian paling hampir dengan Suhaimi ialah Shahrul Nizam. Bek tengah kelahiran Bachok, Kelantan itu meraih penilaian 7.5 oleh Sofascore.
Justeru, tidak hairanlah mengapa penjaga gol dan kapten The Mariners, Danny Vukovic memuji kecekapan beliau selepas tamat perlawanan Terengganu-Central Coast Mariners.
Pencapaian Suhaimi juga dijangka memberi lebih banyak pilihan dari segi penjaga gol kepada jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang Piala Asia 2023 yang diadakan pada awal tahun depan.