Skuad B-22 Indonesia memulakan kempen Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA 2023 dengan langkah kanan hari ini. Ini selepas mereka berjaya mengalahkan skuad B-22 Filipina di Stadium Olimpik.
Indonesia yang kali terakhir memenangi pingat emas acara itu pada temasya 1991 pastinya mahu menamatkan kemarau emas mereka dalam temasya kali ini. Sementara Filipina pula mahu meraih pencapaian lebih baik selepas terkandas di peringkat kumpulan untuk empat temasya berturut-turut termasuk edisi 2021 pada tahun lepas.
Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan saling menekan antara satu sama lain bagi memaksa salah satu pasukan melakukan kesilapan. Ini mendorong jurulatih interim skuad B-22 Indonesia, Indra Sjafri meminta anak-anak buahnya kekal fokus dan cuba mengurangkan kesilapan.
Indonesia mendapat deretan peluang untuk mendahului tetapi gagal memanfaatkan peluang yang terhidang. Tetapi akhirnya sebelum rehat separuh masa, Garuda Muda mendahului menerusi pemain tengah KMSK Deinze, Marselino Ferdinan.
Dengan kedudukan 1-0 semasa rehat, skuad B-22 Indonesia menggandakan serangan pada separuh masa kedua. Garuda Muda berpeluang menambah jaringan pada minit ke-59 apabila Witan Sulaeman dijatuhkan dalam kotak penalti lawan.
Kapten pasukan, Rizky Ridho mengambil sepakan penalti tetapi hampa apabila sepakannya berjaya ditepis penjaga gol Quincy Kammeraad. Witan kemudiannya menguji kecekapan Kammeraad pada minit ke-65 tetapi rembatannya juga ditepis penjaga gol Kaya-Iloilo itu.
Biarpun memasukkan Muhammad Taufany Muslihuddin dan Irfan Jauhari bagi menambah bahagian serangan, anak-anak buah Indra terus buntu menambah gol. Malah, gol Irfan pada minit ke-80 turut dibatalkan selepas bek kanan Tokyo Verdy, Pratama Arhan didapati berada pada situasi ofsaid.
Bagaimanapun, kehampaan Irfan terubat apabila menyempurnakan hantaran Taufany untuk gol kedua Garuda Muda. Fajar Fathur Rahman memastikan kemenangan skuad B-22 Indonesia dengan rembatan kencang pada minit ke-92
Kemenangan ini membolehkan anak-anak buah Indra mendahului Kumpulan A dengan tiga mata. Tetapi kedudukan pendahulu dijangka berubah sekiranya tuan rumah, Kemboja merekodkan kemenangan besar ke atas Timor Leste malam ini.