Skuad B-22 Thailand membuka tirai saingan Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan bergaya. Ini selepas skuad Gajah Perang yang dibimbing Issara Sritaro menumbangkan skuad B-22 Singapura 2-1 di Stadium Visakha, Phnom Penh hari ini.
Selepas kempunan meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam pada tahun lepas, anak-anak buah Issara tidak mahu kecewa lagi. Diperkuat dengan beberapa pemain warisan Thailand, Gajah Perang pastinya mahu mengakhiri kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2017.
Sementara Young Lions yang dibimbing Philippe Aw pula sedar mereka berdepan tugas sukar dalam Kumpulan B. Justeru, pasukan ini hanya berharap dapat menunjukkan prestasi baik bila turun menentang pasukan handalan seperti Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Sebaik sepak mula, anak-anak buah Issara mula mengasak bagi mencari gol pembukaan. Hasilnya, Gajah Perang membuka tirai jaringan menerusi Teerasak Poeiphimai pada minit kelapan.
Bermula dari hantaran jauh Channarong Promsrikaew dari sebelah kanan, ia mudah ditanduk semula Achitpol Keereerom. Hantaran tersebut mudah ditanduk Teerasak menewaskan penjaga gol Young Lions, Aizil Yazid.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada Gajah Perang untuk menggandakan jaringan. Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk gol kedua menerusi penyerang FC Augsburg, Achitpol.
Tatkala Thailand menyangka mereka selesa di hadapan, anak-anak buah Aw kembali merapatkan jurang menerusi penyerang Albirex Niigata, Nicky Melvin Singh pada minit ke-42. Kedudukan 2-1 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Gajah Perang kembali menambah kelebihan dua gol pada minit ke-50 menerusi pemain sayap, Purachet Thodsanit. Menyedari kerapuhan barisan pertahanan anak-anak buahnya, Aw segera membuat beberapa pertukaran.
Siri pertukaran yang dibuat memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan Thailand sebagai pendahulu Kumpulan B tetapi ia boleh saja berubah sekiranya Vietnam mencatat kemenangan besar ke atas Laos malam ini.