Hasrat skuad wanita Malaysia yang dibimbing Soleen Al-Zoubi mencipta kejutan ke atas Vietnam dalam Kumpulan A acara bola sepak wanita Sukan SEA 2023 tidak kesampaian. Ini selepas anak-anak buah Mai Duc Chung selesa mengatasi Malayan Tigress 3-0 di Stadium RCAF, Phnom Penh hari ini.
Malayan Tigress sedar mereka bukan pasukan pilihan dalam perlawanan ini. Dengan Vietnam merupakan antara pasukan yang bakal beraksi pada Piala Dunia Wanita 2023 di New Zealand, anak-anak buah Soleen diketuai kapten Steffi Kaur tahu mereka berdepan lawan yang bukan calang-calang.
Dan itu terbukti seawal minit ketiga perlawanan. Tatkala anak-anak buah Soleen baru nak mengatur langkah, Vietnam terlebih dahulu di hadapan menerusi penyerang berbisa mereka, Pham Hai Yen menewaskan penjaga gol Ezza Ashikin Abdul Razak.
Anak-anak buah Duc Chung terus mengatur rentak permainan mencari gol kedua. Kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila Nguyen Thi Bich Thuy membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan Ezza Ashikin pada minit ke-23.
Malayan Tigress terus ketinggalan apabila kapten skuad wanita Vietnam, Huynh Nhu menyumbat gol ketiga pada minit ke-34. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Vietnam berusaha menggandakan kelebihan mereka. Tetapi anak-anak buah Soleen dilihat memperketat kawalan di bahagian pertahanan sekaligus menyukarkan anak-anak buah Duc Chung mencari gol keempat.
Vietnam menyangka meraih gol keempat menerusi Huynh Nhu pada minit ke-81. Tetapi gol tersebut dibatalkan selepas pemain Vietnam dikesan mengasari Ezza Ashikin sebelum penyerang Lank Vilaverdense itu menjaringkan gol. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan 3-0 ini membantu Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan tiga mata dengan Malaysia di tangga terakhir kumpulan. Tetapi ini boleh saja berubah sekiranya Myanmar atau Filipina meraih kemenangan dalam satu lagi aksi Kumpulan A malam ini.