Indonesia meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan A hari ini dengan membelasah Myanmar 5-0 di Stadium Olympic, Phnom Penh. Kemenangan ini meletakkan anak-anak buah Indra Sjafri berada pada kedudukan selesa untuk mengungguli kumpulan dan mara ke separuh akhir.
Myanmar dan Indonesia yang masing-masing merekodkan satu kemenangan setakat ini dilihat tidak mahu rekod tanpa kalah mereka tercalar. Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati.
Tetapi perlahan-lahan Garuda Muda mula mendominasi anak-anak buah bekas jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner. Dan hasilnya, mereka mendahului pada minit ke-20 menerusi sepakan cantik dari luar kotak penalti yang disempurnakan Marselino Ferdinan.
Marselino terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Myanmar. Dan disebabkan pemain tengah KMSK Deinze itu, Indonesia memperoleh gol kedua apabila dia dijatuhkan pertahanan The Chinthe dalam kotak penalti.
Penalti mudah disempurnakan Ramadhan Sananta bagi meletakkan Garuda Muda selesa mendahului 2-0 pada minit ke-31. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan anak-anak buah Feichtenbeiner cuba bangkit. Tetapi barisan serangan The Chinthe diketuai pemain sayap Selangor, Hein Htet Aung dilihat gagal menggugat gawang Garuda Muda yang dikawal Ernando Ari.
Sebaliknya, Indonesia terus selesa mendahului lawan mereka itu. Ramadhan Sananta sekali menggegar jaring Pyae Phyo Thu untuk gol keduanya dalam Sukan SEA 2023 pada minit ke-60.
Myanmar seakan tiada jawapan terhadap keupayaan Garuda Muda meledakkan gol dari jarak jauh. Hal itu membolehkan Fajar Fathur Rahman mencipta gol keempat buat Indonesia pada minit ke-74 menerusi satu rembatan jarak jauh menewaskan Phyo Thu.
The Chinthe bernasib baik apabila tidak dibolosi buat kali kelima. Tindakan Phyo Thu keluar dari golnya hampir memakan diri apabila Titan Agung cuba menolak bola ke arah gawang kosong pada minit ke-81 tetapi percubaannya tersasar.
Tetapi penyerang Bhayangkara itu menebus kehampaannya dengan menyumbat gol kelima Indonesia pada minit ke-88. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan 5-0 ini membolehkan Indonesia merampas semula kedudukan pendahulu Kumpulan A daripada Kemboja dengan enam mata. Sementara Myanmar pula menduduki tangga ketiga dengan tiga mata.
Selepas ini, Indonesia boleh mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan syarat mengalahkan Timor Leste pada 7 Mei. Sementara Myanmar pula berdepan tugas sukar menentang tuan rumah Kemboja pada hari yang sama.