Sukan Sea: Malaysia Berjaya Tewaskan Thailand

sea games thailand vs malaysia fa malaysia Sukan Sea: Malaysia Berjaya Tewaskan Thailand
FA Malaysia
Syafiq Freman @syafiqfreman
9:55pm 07/05/2022

Malaysia berjaya menewaskan Thailand 1-2 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Sukan Sea 2021 Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Định, Vietnam.

Thailand membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi penyerang sensasi Chiangmai FC, Patrik Gustavsson yang mudah melepasi pertahanan Malaysia yang gagal mengawal gerakan pemain berusia 21 tahun tersebut.

Selang 8 minit kemudian, Malaysia hampir-hampir menyamakan kedudukan menerusi satu serangan balas yang hampir disempurnakan Luqman Hakim namun sepakannya sedikit tersasar ke palang gol Thailand.

Keghairahan Thailand menggandakan jaringan membuahkan padah buat skuad Gajah Putih selepas pertahanan tunjang pasukan tersebut, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah selepas didapati menarik pemain Malaysia yang melakukan serangan balas pada minit ke-41.

Bersambung babak ke-2, Thailand mula bertahan dan Malaysia melakukan asakan bertali arus terutamanya dari sebelah kiri dan kanan.

Usaha keras pemain negara akhirnya terbayar menerusi jaringan Ahmad Asri pada minit ke-61 selepas menerima hantaran cantik Mukhairi Ajmal.

Jaringan kemenangan Malaysia berjaya diperoleh beberapa saat sebelum tiupan wisel penamat menerusi jaringan Azfar Fikri.

Malaysia bakal bertemu Laos pada 11 Mei ini (Rabu) jam 8.00 malam dan Singapura pada 14 Mei jam 5 petang di vanue yang sama.