Sukan SEA: Thailand Mudah Belasah Laos
Asia Tenggara
@TL_Central
Advertisements

Thailand muncul pasukan pertama yang layak ke separuh akhir dari Kumpulan B selepas membelasah Laos 4-1 di Stadium Visakha, Phnom Penh hari ini. Keputusan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepada Malaysia yang perlu menang ke atas Vietnam malam ini bagi menghidupkan peluang layak ke separuh akhir.

Mengetahui kemenangan ke atas anak-anak buah Michael Weiss bakal melayakkan mereka ke separuh akhir, anak-anak buah Issara Sritaro melancarkan serangan sebaik sepak mula. Dan penantian gol pembukaan mereka tidak lama apabila Yotsakorn Burapha menyumbat gol pertama perlawanan pada minit kedua.

Biarpun cuba dihalang beberapa pemain pertahanan Million Elephants, penyerang berusia 17 tahun itu berupaya melambungkan bola ke arah gawang kosong Laos. Dua minit selepas itu, rakan penyerang Teerasak Poeiphimai pula mencatat nama sebagai penjaring.

Advertisements

Skuad Gajah Perang terus selesa mendahului apabila Yotsakorn menyempurnakan gerakan serangan menarik pada minit ke-40. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Laos cuba bangkit mencari gol. Malangnya, gawang mereka bolos lagi pada minit ke-50 apabila Teerasak mudah menewaskan penjaga gol gantian, Solasak Thilavong.

Advertisements

Rentak permainan bagaimanapun sedikit perlahan apabila hujan lebat di Stadium Visakha. Itu langsung tidak menghalang Thailand daripada mendapatkan gol tambahan.

Tetapi sebaliknya, Million Elephants mendapat gol saguhati menerusi sepakan penalti Roman Angot pada minit ke-92 perlawanan. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Keputusan ini membolehkan Thailand layak ke separuh akhir dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan. Manakala Laos pula tersingkir dari Sukan SEA 2023 selepas mengutip satu mata daripada empat perlawanan.

Kemenangan anak-anak buah Sritaro ini dilihat memberi tekanan kepada Harimau Muda yang bakal bertemu dengan Vietnam malam ini. Ini kerana kemenangan merupakan satu-satunya peluang buat anak-anak buah E. Elavarasan menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.

Advertisements

Skuad Gajah Perang boleh mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B dengan syarat menewaskan Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Mei.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram