Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri melihat kehadiran pemain berkualiti sebagai kunci jika Selangor FC mahu memberi cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Pandangan beliau dibuat berdasarkan statistik pasukan itu dalam saingan peringkat kumpulan ACL2 musim 2024/25.
Saingan Kumpulan H menyaksikan Merah Kuning menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 10 mata, dua mata di belakang juara kumpulan, Jeonbuk Hyundai Motors.
Selangor turut dipisahkan satu mata dengan naib juara kumpulan, Muangthong United. Selain itu, pasukan itu hanya menjaringkan sembilan gol jika dibandingkan dengan Jeonbuk dan Muangthong yang menyumbat 16 gol.
Asmawi melihat suntikan pemain berkualiti terutama tonggak import penting jika Selangor tidak mahu perkara sama berulang untuk musim 2025/26.
“Mereka ada sembilan jaringan, lima bolos jika dibandingkan dengan Muangthong dan Jeonbuk yang ada 16 jaringan. Mereka juga paling kurang bolos dari segi jaringan dengan empat dan 10 gol,” katanya kepada Nadi Arena.
“Saya setuju ada faktor corak permainan, pemain-pemain individu pasukan Selangor atau perancangan pasukan Selangor untuk mendapatkan pemain-pemain yang lebih berkualiti.
“Perancangan Selangor perlu dikemaskinikan atau adakan pemilihan pemain baru yang mungkin boleh dibawa masuk dalam perjalanan liga atau ACL.”
Selangor layak ke ACL2 musim 2025/26 selepas muncul naib juara Liga Super musim 2024/25.