Penyerang muda Buriram United, Suphanat Mueanta semakin mendapat perhatian kelab-kelab di eropah dan Jepun selepas pemain berusia 20 tahun itu pulang dari menjalani latihan bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Leicester City.
Umum mengetahui, Suphanat merupakan salah seorang pemain yang tidak dibawa Thailand ke kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 tempoh hari selain dua lagi pemain Buriram Supachai Jaided dan Rattanakorn Maikami. Ketiga-tiga pemain ini dihantar ke Leicester City untuk menjalani latihan.
Hasil daripada latihan di Leicester, khidmat Suphanat kini dikatakan menjadi buruan beberapa kelab di eropah dan kelab Jepun. Namun khabar angin itu telah dinafikan pengurus besar Buriram United, Boripat Soonrod mendakwa bahawa kelab itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan bintang muda itu sehingga sekurang-kurangnya penghujung musim Liga Thai 2022/23.
“Sejak Suphanat kembali daripada latihannya di Leicester City, kami tidak pernah membincangkan perkara mengenai masa depannya di kelab. Tetapi apa yang pasti, dia akan kekal bersama pasukan sehingga akhir musim Liga Thai atau Mei 2023,” dedah Boripat seperti dilaporkan media Main Stand.
Untuk rekod, Suphanat yang mempunyai kemampuan beraksi di posisi sayap dan penyerang telah pun menjaringkan lapan gol dan menyumbang tujuh bantuan gol dalam 20 penampilan bersama Buriram United musim ini.
Dengan umur yang masih muda, Suphanat dikatakan sebagai prospek terbesar Liga Thailand yang akan berkembang dengan lebih baik pada masa akan datang lebih-lebih lagi dengan bakatnya kini menjadi perhatian kelab-kelab di eropah.