Kenyataan yang dikeluarkan oleh ejen kepada pemain bola sepak Malaysia, Joe Berbatov menimbulkan pelbagai tanda tanya selepas memberi bayangan kekecewaan yang dialami oleh seorang pemain di liga Malaysia.
Beliau ada memuat naik satu hantaran di Instagram Storynya yang begitu mencuri tumpuan apabila mendakwa ada pemain yang tidak dihargai dengan selayaknya.
Dalam hantaran tersebut, Joe memberi beranggapan bahawa ada baiknya sekiranya pemain tersebut membuat keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan sekiranya beliau terus dilayan sebegini.
“Susah sangat, bersara (retire) je la dari skuad kebangsaan.”
“Macam tak dihargai je apa yang depa lakukan kepada hang. Satu-satu depan tunjuk,” ujar Joe dalam hantarannya.
Perkara ini seolah-olah memberi gambaran bahawa ia terkait dengan kes yang sedang hangat diperkatakan dalam arena bola sepak Malaysia.
Sebelum ini, terdapat satu kenyataan berkenaan seorang bintang ternama Liga Super yang dikatakan bakal dikenakan hukuman iaitu penggantungan selama satu bulan sekaligus bakal terlepas baki saingan Liga Super.
Pemain ini juga difahamkan mewakili sebuah kelab yang kini berada pada landasan terbaik untuk mara ke pentas Asia pada tahun 2024.