Pengendali Svay Rieng, Jose Munoz mahu memberi fokus kepada kekuatan corak taktikal Terengganu menjelang aksi pembuka tirai kumpulan A Shopee Cup 2024/2025 pada Rabu.
Menurut Munoz, para pemainnya kini berada di tahap terbaik setelah mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan liga domestik baru-baru ini.
”Kami memulakan saingan liga Kemboja dengan baik dan kami mengharungi beberapa aksi kompetitif sebelum ini. Jadi, kami berada di tahap terbaik bagi menghadapi aksi ini.”
Beliau yang ditemui ketika sesi sidang media berkata, kesemua pemain Sang Penyu memiliki kualiti yang baik meskipun Terengganu melakukan perubahan nanti.
”Terengganu memiliki skuad yang hebat dan bukan hanya di kesebelasan utama. Jika mereka melakukan pertukaran, mereka (masih) memiliki pemain-pemain yang berkualiti,” ujarnya kepada Harimau Malaya.
Walau bagaimanapun, fokus Munoz bersama Svay Rieng akan lebih tertumpu kepada corak permainan Terengganu yang bakal ditunjangi oleh pemain tempatan dan import.
”Yang penting sekarang bagaimana cara Terengganu bermain dan pastinya pemain tumpuan dan pemain import akan memainkan peranan bagi corak permainan mereka.”
”Sekiranya mereka melakukan pertukaran sekalipun, corak permainan pasti lebih kurang sama. Jadi, identiti pasukan lawan menjadi fokus kami (berdepan Terengganu),” komen pengendali kelahiran Sepanyol ini.
Aksi antara Terengganu dan Svay Rieng dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu, 21 Ogos tepat jam 9 malam.
Kumpulan A turut dihuni BG Pathum, PSM Makassar, Dong A Thanh Hoa dan juga pemenang perlawanan play-off dari Myanmar, Shan United.