‘Workrate’ Syafik Ismail Bantu Malaysia Tewaskan Thailand

FA Malaysia
Nik Faris
@nikfalovic
12:27pm 08/05/2022

Kemasukan sayap pasukan bawah 23 tahun negara, Syafik Ismail jelas memberi impak yang cukup besar buat Malaysia ketika mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Thailand.

Pemain Terengganu FC ini dimasukkan ke bahagian sayap menggantikan Shahir Bashah jelas memberi dimensi baharu buat pasukan kendalian Brad Maloney.

Kelincahan pemain berusia 22 tahun ini jelas menjadi watak penting untuk memanfaatkan kelebihan selepas Thailand beraksi dengan 10 orang pemain.

Syafik membentuk gandingan yang cukup baik bersama Hadi Fayyadh dan juga Azfar Fikri telah membuktikan kaliber mereka selepas menghukum kealpaan pasukan kendalian Manu Polking.

Bukan itu sahaja, beliau juga seringkali turun untuk membantu barisan pertahanan negara tatkala Thailand melakukan serangan balas pantas untuk mencuri gol kedua.

Malah, Syafik juga tidak berhenti untuk terus melancarkan serangan dan tidak mengenal erti putus asa untuk memastikan pasukan Brad Maloney memperoleh 3 mata penuh.

Hasilnya, larian derasnya untuk mengatasi pemain Thailand berjaya menghasilkan satu hantaran lintang sebelum percubaan Hadi Fayyadh digagalkan.

Kemasukkanya jelas menambah tenaga dan sengat untuk membantu meningkatkan moral rakan sepasukan yang tidak henti melancarkan serangan bertali-arus ke arah gawang gol Thailand.

Azfar Fikri yang setia menanti peluang terhidang jelas memiliki ketenangan dan juga kemampuan untuk melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gol yang berada dalam situasi kelam-kabut.

Keupayaan Syafik jelas memberi kelebihan buat pasukan muda negara yang gigih bekerja keras untuk mencari gol kemenangan sekaligus pulang dengan 3 mata.