Penyerang pasukan Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad terus mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan Harimau Malaya apabila terpilih dalam senarai 30 orang pemain ke Singapura.
Syafiq dipilih bersama 2 orang lagi penyerang tempatan iaitu Darren Lok dan juga penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin untuk mengetuai jentera serangan Malaysia.
Sebelum ini, pemain berusia 27 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan untuk bergandingan dengan para pemain seperti Al-Hafiz Harun, Syazwan Zainon dan juga Ronald Ngah di barisan serangan pasukan ketika menentang Kuala Lumpur City FC.
Syafiq dilihat memainkan peranan selaku ‘free role’ dalam perlawanan ini apabila kelibat beliau berada di seluruh pelusuk padang.
Kudrat dan usaha kerasnya di atas padang sememangnya sudah diketahui umum tatkala tekanan yang diberikan kepada barisan pertahanan KL City hampir membuahkan hasil.
Pasukan kendalian Bojan Hodak menjaringkan gol pembukaan menerusi Zhafri Yahya. Namun begitu, pemain kebangsaan ini membuktikan kualiti dan ketajaman beliau di hadapan gawang lawan.
Beliau bijak untuk menyelinap masuk ke dalam kotak penalti untuk menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan oleh pemain sayap, Al-Hafiz Harun ketika para pemain KL City rata-rata mengawal kelibat Ronald Ngah.
Bukan itu sahaja, Syafiq memainkan watak penting apabila membantu gerakan pasukan untuk melakukan satu bantuan gol buat rakan sepasukan.
Persembahan memukaunya sejak dipinjamkan ke pasukan asalnya itu membuatkan barisan kejurulatihan baharu terus mahukan beliau dalam pasukan kebangsaan.
Khidmat pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang ini terus ditagih oleh jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menghadapi perlawanan persahabatan di Singapura hujung bulan ini.
Syafiq juga merupakan sebahagian daripada barisan pemain yang dikejutkan dalam kempen Piala AFF Suzuki apabila pasukan negara terpaksa akur untuk pulang awal.
Namun begitu, peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama pasukan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain ini sekaligus membantunya untuk mendapatkan semula rentak permainan sebenarnya.
Beliau dijangka kekal menjadi pilihan utama untuk mengemudi jentera serangan Harimau Malaya dalam siri perlawanan persahabatan yang berlangsung di Singapura hujung bulan ini.