Penyerang skuad kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad akui para pemain yang terpilih untuk beraksi di kejuaraan Piala AFF telah membanting tulang demi negara untuk berusaha melangkah ke final.
Pemain Johor Darul Ta’zim ini percaya dengan kelemahan yang ada mampu memberikan tekanan positif untuk beliau dan rakan sepasukan.
Menurut Syafiq, setiap pemain yang berada di posisi penyerang pasti terkilan kerana tidak dapat menghasilkan gol seperti mana rakan sepasukannya iaitu De Paula. Akan tetapi beliau yakin dengan prestasi yang ditampilkan De Paula mampu membuahkan hasil dalam perlawanan akan datang.
“Bagi saya, kebanyakan pemain yang datang ke sini, boleh dikatakan mereka semua adalah pemain yang berkorban,” kata Syafiq kepada Stadium Astro.
“Kami datang ke sini dengan serba kekurangan tetapi setiap pemain yang berada di sini telah berjanji untuk memberikan yang terbaik dan membuktikan bahawa kekurangan itu tidak akan kelihatan di mata orang lain.”
“Bagi saya, dia (De Paula) sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik tetapi mungkin waktunya belum tiba untuk dia menjaringkan gol,” ujarnya.
“Sebagai seorang penyerang, sudah pasti dia akan kecewa apabila dua atau tiga percubaannya tidak dapat menghasilkan gol dan saya dapat lihat bahawa dia cuba membuktikan sesuatu untuk membantu pasukan,” katanya lagi.