Penjaga gol baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi melakukan penampilan yang cukup cemerlang ketika pasukannya menewaskan PFC Levski Sofia semalam.
Bekas penjaga gawang Negeri Sembilan ini melakukan penampilan pertama bersama skuad Harimau Selatan musim ini.
Pemain berusia 26 tahun itu diturunkan dalam aksi yang bertahan hanya selama 54 minit ini selepas beberapa insiden panas yang terjadi.
Syihan segera menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu kelabnya apabila dikesan beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada kelab yang berada di tangga ke-6 Liga Bulgaria itu.
Penjaga gol tinggi lampai ini jelas menjadi satu penambahan yang berkualiti ke dalam pasukan JDT apabila seringkali menang perebutan di udara.
Detik terbaik Levski hadir pada akhir babak pertama menerusi satu gerakan pantas ke arah benteng pertahanan JDT namun ketangkasan Syihan menjadi penyelamat gawang gol daripada dibolosi.
JDT dijadulakan bakal bertemu Lokomotiv Moscow pada 2 Februari dan bakal berhadapan cabaran lebih getir bertemu juara Liga Rusia, FC Zenit pada 6 Februari ini.