Keterujaan rakyat sesebuah negara dalam meminati bola sepak pastinya sedikit sebanyak akan mempengaruhi prestasi dan kemajuan pasukan kebangsaan mereka. Ini kerana sokongan padu dari para penyokong sentiasa dianggap sebagai pembakar semangat yang akan menaikkan semangat para pemain.
Baru-baru ini, sebuah syarikat penganalisis data, Nielsen telah mendedahkan satu kajian mengenai tahap keterujaan rakyat sesebuah negara terhadap sukan bola sepak. Kajian itu telah dibuat sempena kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.
Kajian tersebut menyebut bahawa rakyat Malaysia berada di tangga ke-7 di Asia dalam tahap keterujaan bola sepak mereka. Namun rakyat Malaysia tidak cukup teruja dengan bola sepak jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Untuk benua Asia, Vietnam berada di tangga teratas dengan 75% populasi rakyat mereka teruja terhadap bola sepak mengatasi rakyat Indonesia yang berada di kedudukan ke-3 dengan hanya 69% populasi sahaja meminati sukan itu.

Malaysia berada di tangga ke-7 dengan hanya 53% peratus sahaja populasi rakyat yang meminati sukan bola sepak. Namun penyokong bola sepak negara pasti sedikit berbangga kerana peratusan itu lebih tinggi daripada pasukan yang kerap kali ke Piala Dunia seperti Jepun dan Korea Selatan.
Bagi negara Jepun, sukan bola sepak bukanlah sukan utama yang menjadi kegemaran rakyat mereka. Kajian menunjukkan bahawa sukan luncur menjadi sukan nombor satu negara tersebut. Bola sepak hanyalah sukan ketiga yang menjadi kegemaran rakyat Jepun.
Begitu juga dengan Korea Selatan yang menyaksikan sukan luncur turut mendapat tempat di hati rakyat mereka dengan sukan bola sepak menjadi sukan kedua yang paling diminati.
