Tampines Rovers Perbaharui Kontrak Kyoga Nakamura Lima Tahun
Asia Tenggara
Tampines Rovers/SPL
Advertisements

Selalunya di mana-mana liga ASEAN, jarang kita dengar pasukan beri kontrak jangka panjang kepada pemain, baik pemain tempatan atau pemain import. Kontrak selalunya selama setahun atau paling panjang dua tahun. Tetapi kelab Tampines Rovers membuat kejutan dengan melanjutkan kontrak pemain tengah Jepun Kyoga Nakamura selama lima tahun lagi!

Dengan memeterai kontrak tersebut, Nakamura dijangka akan beraksi di Liga Perdana Singapura (SPL) sehingga tahun 2026. Selain itu, ia turut membuka ruang kepada pemain Jepun itu muncul sebagai pemain kebangsaan Singapura. Baru-baru ini, Nakamura telah memohon menjadi penduduk tetap negara itu.

Tetapi beliau perlu memenuhi syarat kelayakan tempat tinggal selama lima tahun FIFA sekiranya mahu beraksi bersama Singapura. Bagi bekas jeneral tengah YSCC Yokohama itu, keputusan untuk kekal di situ merupakan satu keputusan yang tepat. Sebab Nakamura mudah, beliau sudah jatuh cinta dengan negara itu dan Tampines Rovers.

Advertisements

Dalam satu temubual bersama The Straits Times, beliau berkata, “Saya sudah jatuh cinta dengan Singapura dan Tampines Rovers. Ini rumah kedua saya dan saya mahu maju bersama bola sepak Singapura. Saya mahu menjadi warga Singapura kerana saya amat mencintai negara ini.”

Nakamura juga tidak menolak sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan – dengan syarat telah mendapat kerakyatan negara itu. Tambahnya, “Sekiranya saya terpilih menyertai pasukan kebangsaan, saya berharap kemahiran dan keperibadian saya dapat membantu pasukan merealisasikan matlamat ditetapkan.”

Nakamura diiktiraf sebagai antara pemain paling berbakat dalam liga. Beliau pernah terpilih dalam Kesebelasan Terbaik SPL 2019 dan 2020. Profesionalismenya sebagai pemain turut mendapat pujian jurulatih Rovers, Gavin Lee. Nakamura membantu Tampines Rovers menduduki tangga keempat liga pada musim lepas.

Advertisements

Jeneral tengah Jepun itu bukan satu-satunya pemain yang diikat kontrak jangka panjang dalam SPL. Sebelum ini, Lions City Sailor memperbaharui kontrak Hariss Harun dan M. Amunathan untuk tempoh 42 bulan dan tiga tahun.

Bagi pemerhati bola sepak Singapura, berita sebegini merupakan berita baik kepada SPL. Ini menunjukkan kelab-kelab SPL sebagai sebuah kelab yang stabil dan mempunyai matlamat jangka panjang. Dan ini amat membantu liga menambahbaik kualiti pemain dan pasukan untuk jangka panjang.

Nakamura dijangka boleh beraksi untuk Singapura seawal tahun 2024. Sementara ini, beliau mahu membantu Rovers menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak 2013. Nakamura sebelum ini membantu Rovers menjulang Piala Singapura pada 2019.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram