“Tanya Penonton Astro, Jangan Tanya Saya” – Ong Kim Swee

Ong Kim Swee Sabah 2 "Tanya Penonton Astro, Jangan Tanya Saya" - Ong Kim Swee
Sabah FC
Nabil Fahmi @nabilfamy
10:29am 13/03/2023

Perlawanan tegang di antara Sri Pahang FC dan Sabah FC semalam dihasi dengan layangan kad merah yang diterima pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-67 perlawanan. Beliau dikenakan tindakan tersebut selepas dikatakan membantah keputusan pengadil.

Namun pada sesi sidang media selepas perlawanan, Kim Swee yang ditanyakan mengenai insiden tersebut mengelak dari memberi sebarang komen sebaliknya mencadangkan agar penonton siaran langsung Astro menilai sendiri adakah ada kekasaran atau tidak.

“Saya rasa Astro ada membuat siaran langsung perlawanan (Sri Pahang dan Sabah) hari ini kan? Jadi saya rasa kalian perlu tanya penonton Astro adakah ianya kekasaran atau tiada kekasaran.

“Saya tak akan menjawab soalan berkenaan itu. Saya belum lagi melihat video tapi pada saya secara jelasnya tanya mereka. Tanya penonton. Jangan tanya saya, kalian meletakkan saya dalam keadaan sukar yang sudah pun sukar sekarang,” luah Kim Swee seperti disiarkan Astro Arena.

Rata-rata penyokong Sabah ternyata tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan kerana mereka berpendapat sekurang-kurangnya dua sepakan penalti harus dihadiahkan buat pasukan Sabah namun satu penalti pun tidak diberikan.

Perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-1 dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata. Untuk info, Kim Swee merupakan jurulatih kedua yang dilayangkan kad merah selepas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain.