Legenda Man United, Teddy Sheringham memuji kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Sheringham menjadi sebahagian daripada pasukan legenda United (Manchester Reds) yang beraksi menentang Liverpool Reds dalam perlawanan pertunjukan Battle of the Reds di SNBJ semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan barisan legenda Liverpool meraih kemenangan 4-2 ke atas Manchester Reds. Djibril Cisse meledakkan hatrik dengan satu gol lagi disumbang Florent Sinama Pongolle.
Sementara legenda The Red Devils pula membalas menerusi gol Dimitar Berbatov dan Danny Webber.
Meskipun tewas dalam perlawanan semalam, Sheringham memuji kualiti padang SNBJ. Ini kerana keadaan padang yang baik membantu kelancaran permainan kedua-dua pasukan.
“Ya, Padang dalam keadaan baik. Padangnya baik. Tiada masalah bila hendak menggerakkan bola dan membantu permainan bola sepak yang cantik dimainkan. Tiada rungutan daripada saya,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan semalam.
Sebelum ini, kualiti padang SNBJ dikritik ramai pihak kerana tidak berada pada tahap terbaik untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Malaysia dan Oman pada Mac lalu.
Lantaran itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kemudiannya memohon maaf atas apa yang berlaku dan menggerakkan proses penambahbaikan pada kualiti padang.
Ini termasuk melaksanakan moratorium pemasangan struktur pentas dan menara bunyi untuk kegunaan konsert di atas padang. Ini bagi memastikan padang kembali ke tahap terbaik menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya pada Jun ini.
SNBJ juga dalam proses menggantikan rumput Zeon Zoysia dengan rumput hibrid. Ini selepas Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan mendermakan rumput hibrid untuk kegunaan padang SNBJ pada 16 April lalu.
Rumput Zeon Zoysia yang digunakan di padang SNBJ ketika ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City.