Terengganu Sambut Baik Tambahan Kuota Import Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC menyambut baik pelaksanaan tambahan kuota pemain import dalam saingan Liga Super musim 2025-2026.

Penambahan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) itu dianggap mampu memberikan satu kelainan dan nilai tambah bagi meningkatkan lagi kemeriahan saingan liga pada musim hadapan.

Menurut pengurus pasukan Terengganu FC, Shahrizan Mohd Zain, langkah yang diambil ini bakal menyuntik warna baharu dalam senario bola sepak semasa di negara khususnya Liga Super.

Walau bagaimanapun, beliau memberi penekanan bahawa pengurusan setiap pasukan perlu tetap berbelanja secara berhemah dan berpandukan kekuatan kewangan semasa.

“Mungkin dengan kuota yang ditambah memberi kemeriahan lagi dalam Liga M, tapi yang kita harap pasukan-pasukan dapat berbelanja ikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Sang Penyu kini masih dalam fasa membuat penilaian terhadap jumlah pemain import yang akan digunakan.

“Setakat ini, Terengganu FC menggunakan 9 pemain import kerana terlibat dalam ACC Shoppe Cup, tetapi untuk musim depan belum diputuskan lagi.

“Kita akan belanja ikut kemampuan kewangan kita,” tegasnya lagi.

Shahrizan juga memaklumkan bahawa persiapan Terengganu kini sedang berjalan lancar dengan pendekatan berhati-hati supaya pihak pengurusan tak dibebani isu kewangan seperti tunggakan gaji.