Kekalahan besar yang menimpa skuad bola sepak negara kepada musuh serumpun, Indonesia ternyata memberikan satu tamparan yang hebat buat seluruh peminat bola sepak negara.
Mana tidaknya, perlawanan menentang Indonesia boleh kita umpakan seperti beraksi di pentas final. Jadi dengan kekalahan yang menimpa Harimau Malaya tempoh hari, ternyata ianya sangat perit untuk ditelan. Lebih perit lagi, apabila kita kalah dengan jaringan yang besar.
Sebelum ini, skuad Indonesia pernah ditertawakan selepas menyenaraikan skuad ‘mentah’ ketika membawa pemain-pemain muda untuk beraksi di kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023. Namun kini segalanya berubah 360 darjah selepas mereka menampilkan aksi bertenaga di saingan Piala AFF Suzuki 2020.
Kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bukanlah aksi terbaik pasukan Indonesia selepas hanya mampu mengutip 1 mata dari 8 perlawanan. Dalam saingan kumpulan G yang turut melibatkan Malaysia, Thailand, Vietnam dan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pasukan Indonesia telah tewas 2 kali kepada pasukan Malaysia. Mereka tewas dengan keputusan 2-3 di Jakarta dan tewas 0-2 di Kuala Lumpur.
Pasukan Harimau Malaya yang menumbangkan Indonesia 2 kali di kempen kelayakan tersebut, umpama mengejutkan Sang Garuda yang sedang nyenyak tidur.
Selepas melalui kempen yang sangat mengecewakan dan ‘tidur yang panjang’, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil langkah drastik dengan melantik jurulatih baharu dari Korea Selatan yang bernama Shin Tae-yong.
Jurulatih ini bukanlah nama yang asing dalam dunia bola sepak. Beliau pernah membimbing Korea Selatan dalam kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia dan pernah menewaskan pasukan Jerman di peringkat kumpulan. Walaupun gagal mara ke pusingan seterusnya, namun nama Shin Tae-yong pasti akan diingati kerana menggagalkan Jerman untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia.
Kini, Shin Tae-yong membawa pasukan Indonesia dengan baik sekali dan berjaya menggagalkan pasukan negara untuk menepati sasaran FAM dengan mara ke final Piala AFF edisi kali ini.
Kita perlu berterima kasih kepada pasukan Indonesia kerana berjaya menewaskan skuad negara. Dengan kekalahan ini, Harimau Malaya pasti akan bangkit semula dari ‘lena diulit mimpi’. Bangun Harimau Bangun. Jangan tidur lagi.