Penjaga gol Perak, Haziq Nadzli menzahirkan ucapan terima kasih buat Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas segala kenangan indah selama 7 tahun di sana.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Haziq Nadzli memuat naik 10 keping foto ketika berlatih, beraksi dan memenangi trofi bersama JDT beserta ucapan terima kasih buat pihak kelab.
”Terima kasih JDT untuk 7 tahun yang sangat berharga buat diri saya, terima kasih kerana membantu meningkatkan cara permainan saya,” ucap Haziq di ruangan kapsyen
“Banyak perkara baharu yang saya pelajari untuk diri dan prestasi saya.”
Haziq turut sempat menzahirkan penghargaan khas kepada Pemilik Kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas segala jasa Baginda dalam perkembangan karier pemain berusia 27 tahun itu.
“Yang paling penting, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemilik Kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang banyak membantu dan menyokong saya dari segi prestasi dan juga mentaliti saya.”
Di akhir ucapan, Haziq mendoakan kejayaan buat pasukan JDT di AFC Champions League Elite (ACLE) dan berharap skuad Harimau Selatan ini mampu membanggakan nama Malaysia.
“Semoga berjaya JDT untuk pusingan 16 terakhir ACLE, buat Malaysia bangga,” tulis Haziq di akhir ucapan.
Menurut laman Transfermrkt, Haziq Nadzli telah melakukan 16 penampilan untuk JDT sejak tiba pada tahun 2017 malah telah memenangi 5 kejuaraan Liga Super, dua gelaran juara Piala FA dan satu trofi Piala Malaysia.
Pada awal musim lalu, Haziq telah memilih untuk berhijrah ke Perak secara pinjaman dan hasil aksi cemerlang, beliau telah dipanggil memperkuat Harimau Malaya di Asean Mitsubishi Electric Cup lalu.