Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Razman Roslan menyifatkan pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid bertuah kerana tidak mendapat kad merah dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Akhyar menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama skuad Peteh yang diturunkan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 28 Jun lepas.
Terengganu menceriakan penyokong setia mereka dengan gol pada minit kelapan menerusi pemain tengah Filipina, Manuel Ott.
Pada minit ke-27 perlawanan, pengadil Mohd Hasrol Amir mengesan terjahan keras yang dilakukan Akhyar ke atas pemain import Sabah dari Korea Selatan, Ko Kwang-min.
Tindakan pemain sayap berusia 25 tahun itu mengundang kemarahan beberapa pemain pelawat termasuk kapten, Park Tae-soo. Lantaran itu, Hasrol melayangkan kad kuning kepada Akhyar.
Razman merasakan bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu bertuah kerana tidak dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.
Sekiranya keadaan itu berlaku, ini boleh saja mengubah momentum perlawanan memihak kepada Sabah yang sibuk mengejar gol penyamaan.
“Kalau dilihat cara Akhyar menerjah itu, itu boleh menimbulkan persoalan (tentang kecederaan pemain lawan). Kalau terkena kaki, mungkin akan menyebabkan kecederaan serius atau pun jangka masa yang panjang.
“Bagi saya, pengadil seharusnya (melihat semula insiden). Kita ada VAR (sistem bantuan video pengadil), mungkin boleh dirujuk.
“Kita tak menyalahkan pemain sebab (mereka) dalam permainan berintensiti tinggi. Tetapi pengadil patut melihat semula sama ada (insiden itu) wajar atau tidak,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Terengganu-Sabah di Astro Arena.
Terengganu mendapat tiga gol lagi pada babak pertama menerusi dua gol Ismaheel Akinade dan pemain import Croatia, Marin Pilj. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Bekalan selesa empat gol bakal dibawa Terengganu untuk aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai.