Advertisement
Terjahan Rodney Celvin Terhadap Kpah Sherman Patut Dilayangkan Kad Merah?
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Bek tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin amat bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah semasa tuan rumah meraih kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC semalam.

Selepas dibuang padang kerana menendang muka Seo Seon-ung beberapa hari lepas, peminat KDA FC kecut perut apabila Rodney menjatuhkan Kpah Sherman di luar kotak penalti pada minit ke-50.

Kebimbangan itu timbul kerana bek tengah berdarah Ghana-Sarawak itu dianggap menghalang Sherman daripada menjaringkan gol. Bagaimanapun, pengadil Mohd Fussir Mad Sallih hanya melayangkan kad kuning kepada Rodney.

Begitupun, ramai penyokong di media sosial tidak bersetuju dengan keputusan itu. Malah, berdasarkan satu undian yang dijalankan Astro Arena berkenaan insiden tersebut, 78% berpandangan Rodney patut dibuang padang.

Hal ini turut dipersetujui oleh penyerang legenda negara, Dato’ Zainal Abidin Hassan berdasarkan peraturan FIFA. Dengan Rodney orang terakhir di bahagian pertahanan Sang Kenari semasa menerjah Sherman, maka kad merah sepatutnya dilayangkan kepada beliau.

“Tetapi undang-undang mengatakan jika (ada) intention (niat), one v one (satu lawan satu), it’s a red card. Bagi saya red card sebab masa itu Kpah (Sherman) bersendirian dan selepas itu goalkeeper,” katanya semasa menjadi panel perlawanan KDA FC-Sri Pahang FC semalam.

Pandangan Pengarah Teknikal Imigresen FC itu turut dipersetujui bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali.

Beliau melihat Rodney patut menerima kad merah kerana menutup ruang Sherman daripada menjaringkan gol. “(Bagi) saya red card sebab dia menutup Kpah Sherman daripada menjaringkan gol,” katanya.

Dengan nasib menyebelahi mereka semalam, KDA FC kini menduduki tempat ketiga dengan 40 mata daripada 19 perlawanan.