Kemenangan adalah satu-satunya jalan buat skuad Harimau Malaya mara ke Separuh Akhir Piala AFF 2020.
Kembalinya Faisal Halim Dan Akhyar Rashid ke kem latihan selepas melengkapkan tempoh kuarantin sedikit melegakan ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe.
Kedua-dua pemain ini memainkan peranan penting kepada corak permainan anak buah Tan Cheng Hoe dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini Dan Faisal Halim tidak mahu mensia-siakan perjalanannya ke Singapura hanya untuk bermain satu perlawanan.
“Saya sudah terlepas tiga perlawanan. Percuma sahaja saya datang ke Singapura selama sebulan, meninggalkan keluarga, isteri, dan anak-anak hanya untuk bermain satu perlawanan dan pulang,” kata Faisal Halim kepada wartawan.
“Itu tidak berbaloi untuk saya dan juga rakan-rakan seperjuangan. Yang boleh saya katakan adalah perlawanan menentang Indonesia sangat penting dan kami harus menang dengan cara apapun untuk layak ke Separuh akhir,” tegas pemain muda Terengganu FC berkenaan.
Malaysia bakal bertemu Indonesia pada Ahad ini Dan Faisal Halim Dan Akhyar Rashid dijangka beraksi dalam perlawanan menentang Indonesia selain penglibatan Dion Cools yang baru tiba dari Denmark kelmarin.