Pendahulu Liga 1 Thailand, Buriram United terus mengukuhkan cengkaman liga apabila mudah mengatasi Police Tero hari ini.
Pemain sensasi Harimau Malaya, Dion Cools terus mendapat kepercayaan jurulatih untuk mengemudi barisan pertahanan tuan rumah.
Turun tanpa tekanan, anak didik Masatada Ishii terus mengatur langkah dengan beberapa percubaan awal yang hampir menerjah gawang.
Usaha ini membuahkan hasil apabila mereka memperoleh gol pembukaan menerusi percubaan Goran Causic pada minit ke-27.
Selesa mendahului babak pertama, Police Tero seakan cuba merapatkan jurang menerusi beberapa serangan balas pantas namun dinafikan oleh ketangkasan S. Tedsungnoen.
Namun begitu, Buriram United tetap memperoleh gol kedua menerusi perancang tengah, Peeradon Chamratsamee pada akhir babak kedua sebelum penyerang sensasi Thailand, Supachai Chaided mencatat nama selaku penjaring ketiga pasukan.
Insiden layangan kad merah melibatkan Causic pada masa tambahan tidak menjejaskan peluang untuk Buriram gah selaku pendahulu liga dengan 52 mata selepas 20 perlawanan.