Final acara bola sepak Sukan SEA 2023 lebih diingati ramai orang kerana insiden pergaduhan membabitkan Thailand dan pemenang pingat emas, Indonesia. Dan hari ini, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengumumkan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat dalam insiden tersebut.
Mengikut laporan Siam Sport, Jawatankuasa Siasatan FAT memutuskan penggantungan selama setahun dikenakan ke atas tiga staf skuad Thailand B-22. Mereka ialah jurulatih penjaga gol, Prasadchok Chokmoh dan dua staf pasukan, Mayed Madada dan Patrawut Wongsripuek.
Hukuman penggantungan itu dikenakan berikutan ketiga-tiganya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai jurulatih Gajah Perang. Ini termasuk gagal memberi teladan yang baik kepada para pemain yang terdiri daripada pemain-pemain muda dan terlibat dalam insiden yang mencemarkan imej Thailand.
Jawatankuasa sama turut mengenakan penggantungan enam bulan daripada menyertai skuad Gajah Perang ke atas dua orang pemain iaitu penjaga gol, Soponwit Rakyart dan pemain tengah, Thirapak Prueangna. Hukuman tersebut diberi keringanan oleh Jawatankuasa Siasatan FAT atas beberapa faktor.
Pertama, tindakan pantas Soponwit yang memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku dalam aksi final pada 16 Mei itu. Kedua, pihak jawatankuasa turut mengambil kira usia kedua-duanya yang masih muda.
Dengan hukuman berkuatkuasa serta-merta, Soponwit dan Thirapak bakal terlepas peluang membantu Gajah Perang mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada September ini.
Keadaan ini juga bakal memaksa jurulatih skuad Thailand B-23, Issara Sritaro mencari jurulatih baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tiga staf kejurulatihannya. Ini bagi memastikan persiapan Thailand menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.